Wednesday 10 August 2011

Amalan Salafus Soleh Di Bulan Ramadhan

0 comments
Seseorang telah bertanya kepada Asy-Syeikh Al-’Allamah Rabi’ bin Hadi Al-Madkhali hafizahullah tentang bagaimana dengan keadaan para salaf dahulu ketika bulan Ramadhan.

Beliau menjawab:

Sebagai jawapan atas pertanyaan ini, maka aku katakan:

Sungguh, merupakan perkara yang telah diketahui tentang bagaimana keadaan Rasulullah yang mulia ‘alaihissolatu wassalam dahulu, bahawasanya baginda telah melakukan persiapan untuk memasuki bulan ini (Ramadhan), baginda memperbanyakkan puasa di bulan Sya’ban. Dahulu baginda pernah berpuasa di bulan Sya’ban selama sebulan penuh dan pernah pula berpuasa kurang dari itu. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis ‘Aisyah radhiallahu ‘anha.

Kemudian (ketika memasuki bulan Ramadhan), baginda ‘alaihissolatu wassalam berpuasa. Dan kesungguhan baginda (untuk beribadah) terus bertambah terutamanya ketika mulai memasuki sepuluh hari terakhir di bulan tersebut. Maka ketika mulai memasuki sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, baginda mulai menyingsingkan lengan baju dan mengencangkan ikatan pinggangnya, kemudian baginda beri’tikaf, demikian juga para isteri baginda dan banyak para sahabat baginda ‘alaihissolatu wassalam juga demikian. Mereka benar-benar melaksanakan amalan yang agung ini dengan kesungguhan.

Puasa yang baik, amalan yang soleh, dan suka berbuat kebaikan

Rasulullah ‘alaihissolatu wassalam adalah seorang yang dermawan (suka memberikan kebaikan). Bahkan baginda adalah manusia yang paling dermawan. Apalagi ketika memasuki bulan Ramadhan, maka sifat kedermawanan baginda ‘alaihissolatu wassalam semakin bertambah dan bahkan melebihi daripada angin yang bertiup. Terutamanya tatkala Malaikat Jibril ‘alaihissolatu wassalam datang kepada baginda, sebagaimana dalam hadis Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma bahawasanya Rasulullah membaca Al-Qur’an di hadapan Malaikat Jibril di setiap bulan Ramadhan sebanyak satu kali. Dan ketika di tahun terakhir menjelang wafatnya, baginda membacakan Al-Qur’an di hadapan Malaikat Jibril sebanyak dua kali. Sebagaimana hal ini dijelaskan di dalam hadis ‘Aisyah dan hadis Abu Hurairah radhiallahu ‘anhuma. Dan yang demikian itu merupakan tanda akan dekatnya wafat baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.

Para salaf dahulu sangat bersemangat dan memberikan perhatian yang lebih di dalam bulan yang agung ini, dengan melakukan amalan-amalan soleh seperti: membaca Al-Qur’an, memperbanyak zikir, dan menahan diri dari perbuatan maksiat.

Kerana hal tersebut merupakan tuntutan dari ibadah puasa. Puasa itu adalah tidak sekadar menahan diri dari makan dan minum sahaja, namun juga harus mampu menahan diri dari segala perbuatan yang dapat mendatangkan murka Allah tabaraka wata’ala dari perbuatan-perbuatan maksiat dan yang selainnya. Kemudian disertai dengan melakukan amalan-amalan ketaatan kepada Allah ‘azza wajalla dengan mengikhlaskan niat hanya semata-mata kerana Allah.

Para salaf ridhwanullahi ‘alaihim, sebagaimana diceritakan oleh Al-Imam Malik, dan beliau adalah orang yang mengetahui tentang keadaan umat, apabila telah datang bulan Ramadhan, mereka menghabiskan waktu untuk puasa dan membaca Al-Qur’an, mereka memfokuskan diri untuk membaca Al-Qur’an pada bulan yang mulia ini kemudian merenungi dan memperhatikan makna-maknanya, mengambil berbagai nasihat yang ada di dalamnya dan menghindarkan diri dari berbagai larangannya, memahami perkara-perkara yang halal dan haram, memahami janji-janji dan ancaman Allah serta berbagai hal lain yang ada dalam Al-Qur’an. Dengan Al-Qur’an, mereka membersihkan jiwa dan dengannya pula akan menerangi hati. Al-Qur’an adalah kehidupan, cahaya, dan petunjuk, sebagaimana yang Allah tabaraka wata’ala sifatkan dalam firman-Nya:

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ أَمْرِنَا مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al-Qur’an) dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al-Kitab (Al Qur’an) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al-Qur’an itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” [Asy-Syura: 52]

Kesimpulannya bahawa mereka iaitu para salafus soleh, bacalah dan pelajarilah bagaimana kesungguhan mereka, kesabaran, dan keikhlasan mereka kepada Allah serta usaha yang mereka lakukan dengan sekuat tenaga untuk beribadah di bulan yang mulia ini dan juga di bulan yang lainnya.

Maksudnya ini adalah sebagai nasihat bagi kita bahawa kita tidak hanya ingat (ketaatan dan amal soleh) di bulan Ramadhan sahaja kemudian kita lupa dan meninggalkan amalan-amalan ketaatan di bulan-bulan yang lainnya!

Bahkan hendaklah kita terus menerus beribadah kepada Allah, sollat malam, menghadapkan diri kita kepada Allah dan menjalankan berbagai ketaatan yang dengannya kita mendekatkan diri kepada Allah di bulan Ramadhan.

Bukan setelah itu kita menjadi lupa. Sebahagian manusia, mereka mengisi bulan Ramadhan tersebut dengan amalan-amalan ketaatan. Kemudian apabila bulan Ramadhan tersebut telah berlalu, maka ibadah mereka berkurang kemudian malas serta mulai melupakan amalan-amalan ketaatan. Bukan seperti ini yang kita inginkan.

Sehingga tidak diragukan lagi, bahawa hendaklah kita memberikan perhatian yang lebih banyak di bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lainnya. Akan tetapi dengan semakin bertambahnya tahun dan kehidupan ini, mengharuskan diri kita untuk selalu mengingat Allah Ta’ala.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً * وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلاً

“Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.” [Al-Ahzab: 41-42].

Maka sebagai seorang mukmin, wajib bagi dirinya untuk selalu mengingat Allah tabaraka wata’ala, mentaati-Nya, bertakwa kepada-Nya, dan takut serta merasa diawasi oleh-Nya di setiap waktu dalam kehidupannya.

Aku memohon kepada Allah, agar Dia memberikan taufiq-Nya kepada kita dan kamu semua agar dimudahkan untuk melaksanakan solat malam, puasa, dan hal-hal lain yang diwajibkan pada bulan Ramadhan yang mulia ini, serta bersemangat untuk meraih berbagai keutamaan yang ada di dalamnya. Demikian pula kita memohon kepada Allah, agar selalu diberikan taufiq-Nya kepada kita untuk dapat menunaikan amalan-amalan ketaatan kepada-Nya dan menjalankan segala yang diredhai-Nya. Sesungguhnya Tuhan kami Maha Mendengar doa yang dipanjatkan kepada-Nya.

selesai jawapan beliau hafizhahullah yang begitu indah.

Diambil dari kaset yang berjudul: Izalatul Ilbas ‘Ammasytabaha fi Adzhaninnas.

Sumber: http://sahab.net/forums/showthread.php?t=380538

Disunting oleh: Ummu Soleh

 
Copyright © AL-MUWAHHIDAH
Blogger Theme by BloggerThemes | Theme designed by Jakothan Sponsored by Internet Entrepreneur