Tuesday 11 September 2012

UTAMAKAN AHLI WARIS

0 comments
Dari Abu Ishaq Sa’ad bin Abi Waqqash Malik bin Uhaib bin ‘Abdi manaf bin Zahrah bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’aiy al-Quraisyiyyi az-Zuhri radhiallahu ‘anhu, salah seorang di antara 10 orang yang dijamin masuk syurga. Dia berkata: Rasulullah pernah datang menjengukku pada tahun haji wada’, kerana aku sakit teruk, kemudian aku berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya sakitku ini sangat teruk sebagaimana engkau saksikan. Sedang aku mempunyai harta yang cukup banyak, sementara tidak ada seorangpun yang menjadi ahli warisku kecuali seorang anak perempuanku. Apakah boleh aku sedekahkan 2/3 hartaku?” Baginda menjawab: “Tidak boleh”, kemudian aku bertanya lagi: “Bagaimana kalau 1/2?” Baginda menjawab: “Tidak boleh.” Lalu aku bertanya lagi: “Bagaimana jika 1/3 wahai Rasulullah? Selanjutnya baginda bersabda: “Ya, 1/3, dan 1/3 itu masih banyak atau besar. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya, lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan kesusahan (miskin) seraya meminta-minta kepada orang. Sesungguhnya engkau tidak sekali-kali menafkahkan hartamu dengan mengharapkan keredhaan Allah melainkan engkau akan diberikan pahala atasnya bahkan pada apa yang engkau suapkan ke mulut isterimu.”

Lebih lanjut dia berkata, kemudian aku katakan: “Wahai Rasulullah, apakah aku akan ditinggalkan (di Mekah) setelah kepergian sahabat-sahabatku darinya?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya tidaklah engkau ditinggalkan, lalu kamu mengerjakan suatu amalan yang engkau niatkan kerana mencari redha Allah, melainkan dengannya engkau akan bertambah darjat dan ketinggian. Barangkali engkau akan dipanjangkan umur, sehinga orang-orang dapat mengambil manfaat darimu, disamping ada orang lain yang merasa dirugikan olehmu. Ya Allah, biarkanlah hijrah sahabat-sahabatku terus berlangsung, dan janganlah Engkau kembalikan mereka ke tempat semula. Tetapi yang kasihan Sa’ad bin Khaulah.” Rasulullah sangat menyayangkan dia meninggal di Mekah. (Mutafaquh ‘alaihi)

Faedah hadis:

(1) Disyariatkan kepada pemimpin untuk menjenguk bawahannya yang sakit terutama jika sakit kuat.

(2) Diperbolehkan menyebutkan sakit dengan tujuan yang benar, seperti meminta ubat atau doa dari seorang yang soleh tanpa disertai keluhan dan sikap tidak redha, hal ini tidak bertentangan dengan sifat kesabaran.

(3) Diperbolehkan meletakkan tangan di atas dahi orang yang sakit dan mengusap wajahnya serta mengusap bahagian tubuh yang sakit dan mendoakan semoga diberi umur yang panjang.

(4) Pahala berinfak diperoleh dengan syarat niat yang benar, mengharapkan redha Allah.

(5) Diperbolehkan mengumpulkan harta, dengan syarat diperoleh dengan cara yang halal. Hal ini tidak termasuk mengumpul harta, selagi pemiliknya menunaikan haknya, iaitu zakat.

(6) Wasiat harta yang diberikan kepada selain ahli waris tidak boleh melebihi 1/3 (kecuali dengan izin ahli waris).

(7) Infak yang diberikan kepada keluarga mendapatkan pahala jika diniatkan untuk mengharap redha Allah subhanahu wa ta’ala.

(8) Amal kebaikan dan ketaatan yang tidak dapat dilakukan, boleh diganti dengan yang lainnya dalam hal perolehan pahala dan balasan.

(9) Anjuran untuk menyambung silaturahim keluarga dan berbuat baik kepada kerabat. Menyambung silaturahim kepada keluarga yang lebih dekat lebih diutamakan dari pada keluarga jauh.

(10) Larangan memindahkan mayat dari negerinya ke negeri lain. Jika hal ini disyariatkan, tentu Rasulullah akan memerintahkan untuk memindahkan jenazah Sa’id bin Khaulah.

(11) Mencegah dari sarana menuju keburukan, hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam “Dan janganlah engkau mengembalikan mereka ke tempat mereka ditinggalkan,” agar tidak ada seorang pun menjadikan sakit sebagai sarana untuk mencintai negeri dan kampung halaman yang telah ditinggalkannya (kerana hijrah).

(12) Kewajiban memperhatikan kemaslahatan ahli waris dan memelihara keadilan di antara mereka.

(Dari kitab Bahjatun Naadziriin Syarah Riyadhus Solihin karya Syeikh Salim bin ‘Ied Al-Hilali)



 
Copyright © AL-MUWAHHIDAH
Blogger Theme by BloggerThemes | Theme designed by Jakothan Sponsored by Internet Entrepreneur