Tuesday 12 March 2013

Wahai Wanita, Tetaplah Berada Di Dalam Rumahmu...

0 comments

Isteri yang solehah beriman terhadap perintah Allah Ta'ala untuk tinggal di dalam rumahnya. Sebagaimana firmanNya:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam (berada) di rumah kamu.” (Al Ahzaab: 33)
Ayat di atas ini merupakan perintah agar para wanita tetap tinggal di dalam rumah. Walaupun pada asalnya ayat ini ditujukan kepada para isteri Nabi s.a.w, namun wanita selain mereka juga tergolong dalam ayat ini dari segi maknanya.
Gambar Hiasan

Syariat telah menerangkan agar para wanita tinggal di rumah mereka dan menahan diri dari keluar rumah kecuali kerana suatu perkara yang mustahak atau darurat. Allah Ta’ala memerintahkan kepada para isteri Nabi s.a.w untuk tetap tinggal di rumah-rumah mereka dan ayat tersebut ditujukan kepada mereka secara langsung adalah sebagai bentuk penghormatan kepada mereka.

Ibnu Katsir berkata di dalam Tafsirnya (3/482): “Tetaplah kamu di dalam rumah kamu, janganlah keluar tanpa ada keperluan, di antara keperluan yang syar’i adalah solat di masjid dengan berbagai syaratnya.”

Muhammad bin Siriin berkata: “Saya diberitahu bahawa Saudah (isteri Nabi) pernah ditanya, “Kenapa kamu tidak pergi haji dan juga tidak pergi umrah seperti yang dilakukan oleh saudari-saudarimu?” Dia menjawab, “Saya sudah pernah melakukan haji dan juga pernah melakukan umrah, Allah Ta’ala memerintahkan untuk tetap tinggal di rumahku. Demi Allah, saya tidak akan keluar dari rumahku sehingga mati.”

Muhammad bin Sirin berkata: “Demi Allah, dia tidak pernah keluar dari pintu rumahnya hingga dia keluar dalam keadaan sudah menjadi jenazah.”

Ibnul Arabi -semoga Allah merahmatinya- berkata: “Sungguh saya telah memasuki beribu-ribu kampung, dan belum pernah saya melihat para wanita yang lebih menjaga keluarganya dan menjaga harga dirinya dari pada wanita negeri Nablus, suatu negeri yang Nabi Ibrahim pernah dilemparkan ke dalam api. Saya pernah tinggal di negeri tersebut dan saya tidak pernah melihat seorang perempuan pun di jalanan pada siang hari kecuali pada hari Jumaat, mereka keluar ke masjid pada hari Jumaat hingga masjid-masjid pun penuh sesak dengan mereka. Apabila telah selesai solat maka mereka segera kembali ke rumah mereka dan saya tidak melihat seorang perempuan pun sehinggalah pada hari Jumaat berikutnya.”

Al-‘Allamah Kamaluddin Al-Adhami -semoga Allah merahmatinya- berkata: “Tetap tinggal di rumah bagi seorang wanita adalah pintu kebaikan, yang memasukinya akan aman kehormatannya, jiwanya, hartanya, agamanya dan kemuliaannya. Rumah adalah tempat yang paling mulia untuk menjaga harga diri dan kehormatan, kerana dia dapat menunaikan kewajiban rumah tangganya, dapat memenuhi hak suami dan anak-anaknya serta menjalankan ajaran agamanya tanpa disibukkan dengan berbagai kesibukan di luar rumah. Bahkan dia mempunyai waktu lapang untuk tetap beribadah, membaca buku-buku agama dan mempelajari akhlak yang mulia.”

Ketika itulah dia dapat menikmati kelazatan hidup, dia juga akan menyedari bahawa kebahagiaan telah menyelimutinya. Bagaimana tidak, Tuhannya telah redha kepadanya, suaminya merasa puas dengannya kerana dia menjalankan semua yang menjadi kewajibannya. Kebahagiaan mana lagi yang lebih besar bagi seorang wanita daripada mendapat keredhaan Tuhannya serta kepuasan suaminya. 

Sungguh sangat berbeza dengan seorang wanita yang suka keluar dari rumahnya, wanita yang tidak tahan tinggal di rumahnya walaupun sesaat. Bahkan dia lebih suka pergi kesana kemari baik malam mahupun siang hari. Berkumpul dan bercampur dengan semua orang tanpa melihat adakah itu mahram atau bukan, halal atau haram. Apabila pulang ke rumah sahaja, maka kepalanya menjadi penuh dengan berbagai macam tuntutan dan permintaan kerana pengaruh apa yang dilihat dan disaksikannya. Lalu dia meminta wang kepada suaminya namun terkadang keadaan suaminya tidak mampu memenuhi permintaannya. Maka mulalah menyala api perselisihan di antara keduanya. Sehingga urusan rumahnya, pendidikan anak-anaknya tidak dipedulikan lagi, bahkan sampai meninggalkan kewajiban terhadap Tuhannya juga terhadap suaminya. Dia pun melecehkan buku-buku agama dan adabb jika dia boleh membaca dan menulis. Bahkan dia lebih menumpukan untuk membaca buku-buku murahan dan buku-buku yang tidak sopan. Apabila dinasihati oleh suaminya, malah dia menyerang semula dengan mencaci dan mencelanya seakan-akan bangga dengan dosa yang telah dilakukannya. -Semoga Allah memelihara kita dari perkara tersebut.-
Allah Ta’ala telah berfirman,

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Thaha: 124)

Mereka yang berpaling ingkar dari perintah Tuhannya, pasti merasakan kesempitan dunianya, tidak tahu arah ke mana hala tujunya, tidak merasakan ketenangan dan ketenteraman dengan apa yang dikurniakan kepadanya. Sebaliknya, mereka yang sentiasa mentaati segala perintahNya dan bersyukur terhadap apa yang telah diberikan kepada dirinya berupa nikmat-nikmat Allah yang sangat banyak, maka pasti dia akan merasakan ketenteraman dan keluasan dari Allah Ta'ala Tuhan yang menciptakannya.

Pengaruh negatif keluar dari rumah dan tidak menetap di dalamnya yang pertama kali terlihat adalah wujudnya sikap melecehkan dan meremehkan kenikmatan yang ada pada dirinya, menganggap suaminya dengan sebelah mata kerana dia melihat pada sisi kehidupan yang lebih baik dari apa yang dialaminya sekarang. Maka mulalah dia mencela suaminya, apatah lagi jikalau suaminya telah berumur atau ketika terlewat memberikan nafkah. Maka dari situlah bermulanya bibit pertengkaran dan perselisihan yang terkadang boleh menyebabkan berlakunya perceraian, dan pada ketika itulah rumah tangganya menjadi retak dan hidupnya menjadi hancur. -Semoga Allah melindungi kita dari perkara tersebut.-

Perempuan yang tetap tinggal di rumahnya, akan terlihat yang dia berada dalam kemuncak kenikmatan serta sentiasa berdampingan dengan suaminya. Matanya pula tidak terarah kepada selain suaminya, tidak pula mengingkari kenikmatan yang diberikan oleh suaminya walaupun sedikit. Syaitan juga tidak mampu untuk mencelah dan menciptakan perselisihan di antara keduanya. Kedua-duanya bahagia hidup bersama dan saling redha-meredhai, semuanya itu adalah berkat dari seorang perempuan tetap tinggalnya di rumahnya.

Islam menghendaki seorang isteri solehah berada dalam keadaan yang sangat baik, jauh dari sebarang keraguan dan kesamaran (syubhat).

Oleh kerana itu, apabila sememangnya terdapat keperluan yang mendesak untuk keluar dari rumah maka hendaklah dia keluar dengan memakai pakaian yang menutup aurat, berjalan dengan penuh sopan, menundukkan pandangan dan menghindari bahagian tengah jalan.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:

لَيْسَ لِلنِّسَاءِ وَسَطُ الطَّرِيْقِ

“Tidak boleh bagi wanita berjalan di jalan bahagian tengah.” (HR. Ibnu Hibban 7/447, Ad-Daulabi 1/45, dan Al -Baihaqi 7821, 7823)

Wanita solehah berjalan di bahagian tepi (pinggir) jalan bukan di tengahnya, kerana berjalan di tengah jalan merupakan sebab dirinya menjadi sasaran pandangan kaum lelaki, lalu jalannya tersebut dapat menghilangkan kewibawaan diri dan kehormatannya.

Bagi wanita yang berjalan di pinggir jalan dan menghindari dari bahagian tengahnya, maka dia telah mengurangi tanggapan serta pandangan lelaki dan menjauhkan penilaian negatif terhadap dirinya. Dia keluar dari rumahnya dengan memakai hijabnya, berjalan dengan penuh penghormatan, jauh dari segala perkara yang boleh mendatangkan syubhat.
Hadis ini bukanlah seperti yang disangkakan oleh sebahagian besar muslimah bahawa maksud dari hadis ini adalah membatasi ruang gerak seorang perempuan atau mengurangi peranannya, sesungguhnya maksudnya adalah untuk mengatur bagaimana seorang perempuan keluar dari rumahnya.

Hukum asal bagi seorang perempuan adalah dengan tinggal di rumahnya, memikirkan urusan rumahnya dan tidak keluar kecuali dalam keadaan darurat sahaja. Kalaulah seorang perempuan ingin bekerja maka hendaklah bekerja dengan pekerjaan yang dibolehkan oleh syariat sahaja, iaitu berupa pekerjaan-pekerjaan yang memang khusus bagi kaum hawa.

Adapun seorang perempuan keluar dari rumahnya dengan berpenampilan tabarruj (berdandan dan tidak menutup aurat), berkeliaran di jalan-jalan, bercampur-baur dengan lelaki dengan anggapan bahawa dia sedang bekerja dan berusaha, maka perkara ini memerlukan akal yang panjang. Seorang perempuan mestilah muhasabah diri dan menimbang-nimbang pekerjaannya. Kemanakah perginya agamanya saat dia sedang berbual-bual dengan lelaki dalam perkara yang tidak ada hubungan dengan pekerjaanya?

Bahkan kemana perginya pekerjaan yang sepatutnya seseorang wanita perlu berlomba-lomba untuk mendapatkannya, kemudian dengan pekerjaan itu dapat memberikan manfaat kepada anak-anak generasi kaum muslimin atau untuk kaum hawa sejenisnya?

Sesungguhnya seorang isteri pada ketika ini menganggap bahawa pekerjaan merupakan sarana untuk mencukupi dirinya dan dunianya, menurut kadar pemahaman agamanya yang lemah.
Bagaimana pula keadaanmu wahai wanita muslimah?

Andai Rasulullah s.a.w melihat keadaan wanita pada ketika ini dan melihat perbuatan mereka yang sia-sia di jalanan juga melihat pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan oleh wanita pada ketika ini, apakah yang akan dikatakan oleh Baginda s.a.w ?!!

Aisyah r.a berkata: “Andai Rasulullah s.a.w melihat apa yang dilakukan oleh para wanita ketika ini, tentulah baginda tidak akan mengizinkan mereka untuk keluar, yakni keluar ke masjid untuk solat.”

Perkataan baginda di atas ini diucapkan tidak lama setelah kewafatan Rasulullah s.a.w, justeru bagaimana keadaan para wanita pada zaman kita ini yang sangat jauh dari zaman Nabi s.a.w dan telah berlalu lebih kurang lima belas abad dari masa baginda?!

Renungkanlah dan fikir-fikirkanlah bersama...
 
Copyright © AL-MUWAHHIDAH
Blogger Theme by BloggerThemes | Theme designed by Jakothan Sponsored by Internet Entrepreneur