Tuesday, 11 September 2012

UTAMAKAN AHLI WARIS

0 comments
Dari Abu Ishaq Sa’ad bin Abi Waqqash Malik bin Uhaib bin ‘Abdi manaf bin Zahrah bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’aiy al-Quraisyiyyi az-Zuhri radhiallahu ‘anhu, salah seorang di antara 10 orang yang dijamin masuk syurga. Dia berkata: Rasulullah pernah datang menjengukku pada tahun haji wada’, kerana aku sakit teruk, kemudian aku berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya sakitku ini sangat teruk sebagaimana engkau saksikan. Sedang aku mempunyai harta yang cukup banyak, sementara tidak ada seorangpun yang menjadi ahli warisku kecuali seorang anak perempuanku. Apakah boleh aku sedekahkan 2/3 hartaku?” Baginda menjawab: “Tidak boleh”, kemudian aku bertanya lagi: “Bagaimana kalau 1/2?” Baginda menjawab: “Tidak boleh.” Lalu aku bertanya lagi: “Bagaimana jika 1/3 wahai Rasulullah? Selanjutnya baginda bersabda: “Ya, 1/3, dan 1/3 itu masih banyak atau besar. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya, lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan kesusahan (miskin) seraya meminta-minta kepada orang. Sesungguhnya engkau tidak sekali-kali menafkahkan hartamu dengan mengharapkan keredhaan Allah melainkan engkau akan diberikan pahala atasnya bahkan pada apa yang engkau suapkan ke mulut isterimu.”

Lebih lanjut dia berkata, kemudian aku katakan: “Wahai Rasulullah, apakah aku akan ditinggalkan (di Mekah) setelah kepergian sahabat-sahabatku darinya?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya tidaklah engkau ditinggalkan, lalu kamu mengerjakan suatu amalan yang engkau niatkan kerana mencari redha Allah, melainkan dengannya engkau akan bertambah darjat dan ketinggian. Barangkali engkau akan dipanjangkan umur, sehinga orang-orang dapat mengambil manfaat darimu, disamping ada orang lain yang merasa dirugikan olehmu. Ya Allah, biarkanlah hijrah sahabat-sahabatku terus berlangsung, dan janganlah Engkau kembalikan mereka ke tempat semula. Tetapi yang kasihan Sa’ad bin Khaulah.” Rasulullah sangat menyayangkan dia meninggal di Mekah. (Mutafaquh ‘alaihi)

Faedah hadis:

(1) Disyariatkan kepada pemimpin untuk menjenguk bawahannya yang sakit terutama jika sakit kuat.

(2) Diperbolehkan menyebutkan sakit dengan tujuan yang benar, seperti meminta ubat atau doa dari seorang yang soleh tanpa disertai keluhan dan sikap tidak redha, hal ini tidak bertentangan dengan sifat kesabaran.

(3) Diperbolehkan meletakkan tangan di atas dahi orang yang sakit dan mengusap wajahnya serta mengusap bahagian tubuh yang sakit dan mendoakan semoga diberi umur yang panjang.

(4) Pahala berinfak diperoleh dengan syarat niat yang benar, mengharapkan redha Allah.

(5) Diperbolehkan mengumpulkan harta, dengan syarat diperoleh dengan cara yang halal. Hal ini tidak termasuk mengumpul harta, selagi pemiliknya menunaikan haknya, iaitu zakat.

(6) Wasiat harta yang diberikan kepada selain ahli waris tidak boleh melebihi 1/3 (kecuali dengan izin ahli waris).

(7) Infak yang diberikan kepada keluarga mendapatkan pahala jika diniatkan untuk mengharap redha Allah subhanahu wa ta’ala.

(8) Amal kebaikan dan ketaatan yang tidak dapat dilakukan, boleh diganti dengan yang lainnya dalam hal perolehan pahala dan balasan.

(9) Anjuran untuk menyambung silaturahim keluarga dan berbuat baik kepada kerabat. Menyambung silaturahim kepada keluarga yang lebih dekat lebih diutamakan dari pada keluarga jauh.

(10) Larangan memindahkan mayat dari negerinya ke negeri lain. Jika hal ini disyariatkan, tentu Rasulullah akan memerintahkan untuk memindahkan jenazah Sa’id bin Khaulah.

(11) Mencegah dari sarana menuju keburukan, hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam “Dan janganlah engkau mengembalikan mereka ke tempat mereka ditinggalkan,” agar tidak ada seorang pun menjadikan sakit sebagai sarana untuk mencintai negeri dan kampung halaman yang telah ditinggalkannya (kerana hijrah).

(12) Kewajiban memperhatikan kemaslahatan ahli waris dan memelihara keadilan di antara mereka.

(Dari kitab Bahjatun Naadziriin Syarah Riyadhus Solihin karya Syeikh Salim bin ‘Ied Al-Hilali)



Monday, 27 February 2012

Sikap Seorang Pendakwah Ketika Berlaku Perbedaan Pendapat

0 comments
Fatwa Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah 

Soalan: “Syeikh yang terhormat, banyak perbezaan pendapat yang terjadi di antara para aktifis dakwah yang mengakibatkan kegagalan dan lemahnya kekuatan. Perkara ini banyak terjadi sebagai akibat tidak mengetahui etika berbeza pendapat. Apakah saranan Syeikh yang hendak disampaikan berkaitan dengan masalah ini.?”

Jawapan: “Saya menasihatkan kepada semua saudara-saudara saya para penuntut ilmu dan para pendakwah adalah menempuh metode (cara/jalan) yang baik, lembut dalam berdakwah, dan bersikap halus dalam masalah-masalah yang terjadi perbezaan pendapat ketika mengungkapkan pandangan dan pendapat. Jangan sampai terbawa oleh emosi dan kekerasan dengan melontarkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya diucapkan, yang boleh mengakibatkan perpecahan, perselisihan, saling membenci dan saling menjauhi. Sepatutnya seorang  pendakwah dan pendidik menempuh cara-cara yang bermanfaat, halus dalam bertutur kata, sehingga ucapannya dapat diterima dan hati juga tidak saling menjauhi, sebagaimana Allah berfirman kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ


Maksudnya: "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu." (Ali 'Imran: 159)

Maka seoarang pendakwah dan pendidik hendaklah menempuh cara-cara yang bermanfaat serta menghindari kekerasan dan kekasaran kerana cara itu akan menyebabkan ditolaknya kebenaran serta dapat menimbulkan perselisihan dan perpecahan di antara sesama kaum muslimin.

Rujukan: Majmu’ Fatawa wa Maqolat Mutanawwi’ah 5/155-156
Dipetik dan disunting dari: http://abuzubair.wordpress.com

Wednesday, 10 August 2011

Amalan Salafus Soleh Di Bulan Ramadhan

0 comments
Seseorang telah bertanya kepada Asy-Syeikh Al-’Allamah Rabi’ bin Hadi Al-Madkhali hafizahullah tentang bagaimana dengan keadaan para salaf dahulu ketika bulan Ramadhan.

Beliau menjawab:

Sebagai jawapan atas pertanyaan ini, maka aku katakan:

Sungguh, merupakan perkara yang telah diketahui tentang bagaimana keadaan Rasulullah yang mulia ‘alaihissolatu wassalam dahulu, bahawasanya baginda telah melakukan persiapan untuk memasuki bulan ini (Ramadhan), baginda memperbanyakkan puasa di bulan Sya’ban. Dahulu baginda pernah berpuasa di bulan Sya’ban selama sebulan penuh dan pernah pula berpuasa kurang dari itu. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis ‘Aisyah radhiallahu ‘anha.

Kemudian (ketika memasuki bulan Ramadhan), baginda ‘alaihissolatu wassalam berpuasa. Dan kesungguhan baginda (untuk beribadah) terus bertambah terutamanya ketika mulai memasuki sepuluh hari terakhir di bulan tersebut. Maka ketika mulai memasuki sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, baginda mulai menyingsingkan lengan baju dan mengencangkan ikatan pinggangnya, kemudian baginda beri’tikaf, demikian juga para isteri baginda dan banyak para sahabat baginda ‘alaihissolatu wassalam juga demikian. Mereka benar-benar melaksanakan amalan yang agung ini dengan kesungguhan.

Puasa yang baik, amalan yang soleh, dan suka berbuat kebaikan

Rasulullah ‘alaihissolatu wassalam adalah seorang yang dermawan (suka memberikan kebaikan). Bahkan baginda adalah manusia yang paling dermawan. Apalagi ketika memasuki bulan Ramadhan, maka sifat kedermawanan baginda ‘alaihissolatu wassalam semakin bertambah dan bahkan melebihi daripada angin yang bertiup. Terutamanya tatkala Malaikat Jibril ‘alaihissolatu wassalam datang kepada baginda, sebagaimana dalam hadis Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma bahawasanya Rasulullah membaca Al-Qur’an di hadapan Malaikat Jibril di setiap bulan Ramadhan sebanyak satu kali. Dan ketika di tahun terakhir menjelang wafatnya, baginda membacakan Al-Qur’an di hadapan Malaikat Jibril sebanyak dua kali. Sebagaimana hal ini dijelaskan di dalam hadis ‘Aisyah dan hadis Abu Hurairah radhiallahu ‘anhuma. Dan yang demikian itu merupakan tanda akan dekatnya wafat baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.

Para salaf dahulu sangat bersemangat dan memberikan perhatian yang lebih di dalam bulan yang agung ini, dengan melakukan amalan-amalan soleh seperti: membaca Al-Qur’an, memperbanyak zikir, dan menahan diri dari perbuatan maksiat.

Kerana hal tersebut merupakan tuntutan dari ibadah puasa. Puasa itu adalah tidak sekadar menahan diri dari makan dan minum sahaja, namun juga harus mampu menahan diri dari segala perbuatan yang dapat mendatangkan murka Allah tabaraka wata’ala dari perbuatan-perbuatan maksiat dan yang selainnya. Kemudian disertai dengan melakukan amalan-amalan ketaatan kepada Allah ‘azza wajalla dengan mengikhlaskan niat hanya semata-mata kerana Allah.

Para salaf ridhwanullahi ‘alaihim, sebagaimana diceritakan oleh Al-Imam Malik, dan beliau adalah orang yang mengetahui tentang keadaan umat, apabila telah datang bulan Ramadhan, mereka menghabiskan waktu untuk puasa dan membaca Al-Qur’an, mereka memfokuskan diri untuk membaca Al-Qur’an pada bulan yang mulia ini kemudian merenungi dan memperhatikan makna-maknanya, mengambil berbagai nasihat yang ada di dalamnya dan menghindarkan diri dari berbagai larangannya, memahami perkara-perkara yang halal dan haram, memahami janji-janji dan ancaman Allah serta berbagai hal lain yang ada dalam Al-Qur’an. Dengan Al-Qur’an, mereka membersihkan jiwa dan dengannya pula akan menerangi hati. Al-Qur’an adalah kehidupan, cahaya, dan petunjuk, sebagaimana yang Allah tabaraka wata’ala sifatkan dalam firman-Nya:

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ أَمْرِنَا مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al-Qur’an) dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al-Kitab (Al Qur’an) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al-Qur’an itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” [Asy-Syura: 52]

Kesimpulannya bahawa mereka iaitu para salafus soleh, bacalah dan pelajarilah bagaimana kesungguhan mereka, kesabaran, dan keikhlasan mereka kepada Allah serta usaha yang mereka lakukan dengan sekuat tenaga untuk beribadah di bulan yang mulia ini dan juga di bulan yang lainnya.

Maksudnya ini adalah sebagai nasihat bagi kita bahawa kita tidak hanya ingat (ketaatan dan amal soleh) di bulan Ramadhan sahaja kemudian kita lupa dan meninggalkan amalan-amalan ketaatan di bulan-bulan yang lainnya!

Bahkan hendaklah kita terus menerus beribadah kepada Allah, sollat malam, menghadapkan diri kita kepada Allah dan menjalankan berbagai ketaatan yang dengannya kita mendekatkan diri kepada Allah di bulan Ramadhan.

Bukan setelah itu kita menjadi lupa. Sebahagian manusia, mereka mengisi bulan Ramadhan tersebut dengan amalan-amalan ketaatan. Kemudian apabila bulan Ramadhan tersebut telah berlalu, maka ibadah mereka berkurang kemudian malas serta mulai melupakan amalan-amalan ketaatan. Bukan seperti ini yang kita inginkan.

Sehingga tidak diragukan lagi, bahawa hendaklah kita memberikan perhatian yang lebih banyak di bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lainnya. Akan tetapi dengan semakin bertambahnya tahun dan kehidupan ini, mengharuskan diri kita untuk selalu mengingat Allah Ta’ala.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً * وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلاً

“Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.” [Al-Ahzab: 41-42].

Maka sebagai seorang mukmin, wajib bagi dirinya untuk selalu mengingat Allah tabaraka wata’ala, mentaati-Nya, bertakwa kepada-Nya, dan takut serta merasa diawasi oleh-Nya di setiap waktu dalam kehidupannya.

Aku memohon kepada Allah, agar Dia memberikan taufiq-Nya kepada kita dan kamu semua agar dimudahkan untuk melaksanakan solat malam, puasa, dan hal-hal lain yang diwajibkan pada bulan Ramadhan yang mulia ini, serta bersemangat untuk meraih berbagai keutamaan yang ada di dalamnya. Demikian pula kita memohon kepada Allah, agar selalu diberikan taufiq-Nya kepada kita untuk dapat menunaikan amalan-amalan ketaatan kepada-Nya dan menjalankan segala yang diredhai-Nya. Sesungguhnya Tuhan kami Maha Mendengar doa yang dipanjatkan kepada-Nya.

selesai jawapan beliau hafizhahullah yang begitu indah.

Diambil dari kaset yang berjudul: Izalatul Ilbas ‘Ammasytabaha fi Adzhaninnas.

Sumber: http://sahab.net/forums/showthread.php?t=380538

Disunting oleh: Ummu Soleh

 
Copyright © AL-MUWAHHIDAH
Blogger Theme by BloggerThemes | Theme designed by Jakothan Sponsored by Internet Entrepreneur